Thursday 29 January 2015

ADAT PERKAHWINAN KADAZANDUSUN DI PENAMPANG

PENGENALAN
Perkahwinan merupakan sebuah hubungan yang terikat antara dua orang yang telah diiktirafkan oleh pihak berkuasa atau diikat oleh kepercayaan agama masing-masing.Bagi masyarakat kaum Kadazandusun, perkahwinan merupakan sebuah hubungan yang sangat mulia dan menandakan seseorang itu telah cukup dewasa untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Oleh yang demikian, masyarakat ini akan meraikan majlis perkawinan mereka dengan begitu meriah selama 3 hari berturut-turut. Perkahwinan masyarakat Kadazandusun ini kebanyakannya dilakukan mengikut adatistiadat yang telah diwarisi secara turun-temurun oleh nenek moyang mereka bermula dari merisik, meminang, bertunang dan diakhiri dengan majlis perkahwinan.

OBJEKTIF KAJIAN
1.    Tujuan utama penulisan dibentuk ialah untuk mengetahui asal usul adat tradisi perkahwinan kaum kadazandusun di Penampang, Sabah. Asal usu ini dikaji kerana ingin mendedahkan kepada masyarakat bahawa adat tradisi ini amat penting untuk dipelihara.
2.    Selain itu, kajian ini dibuat untuk mendedahkan adat tradisi perkahwinan kaun kadazandusun yang ada dan masih diamalkan sehingga sekarang. Antara yang masih diamalkan ialah pakaian tradisional, tarian dan makan beradab perkahwinan.
3.    Kajian ini dibuat bagi menyedarkan masyarakat pada zaman sekarang tentang pentingnya memelihara adat tradisi yang telah diamalkan sejak turun-temurun lagi. Ini bertujuan supaya semua lapisan masyarakat dan generasi akan datang kaum kadazandusun mengamalkan adat tradisi walaupun kebanyakan kaum kadazandusun masa kini telah menganut agama Kristian.

SOROTAN LITERATUR
Setiap masyarakat di Malaysia mempunyai adat resam dan budaya masing-masing. Adat resam yang diterima oleh sesuatu bangsa merupakan cetusan peraturan dan panduan. Peraturan dan panduan ini merupakan satu garis penentu sesuatu hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Sesuatu masyarakat menjalani kehidupan berdasarkan amalan nenek moyang mereka, menyempurna dan melaksanakan amalan nenek moyang sebagai suatu peraturan. Peraturan ini menjadi kebiasaan yang lama- kelamaan menjadi satu kemestian. Menurut satu pendapat “... adat resam sebagai tatacara yang diterima mengenai cara makan, bertutur, berjumpa sahabat handai, dan sebagainya atau adat itu ialah cara bertindak yang umum dipercayai secara sosial” .( Mac Iver , 1970).
Menurut Blumer, 1962:2 mengatakan minda penerima harus menafsirkan lambang yang digunakan oleh pengirim. Barang hantaran menunjukkan bahawa terjalinya hubungan antara kedua-dua belah pihak. Misalnya cincin hantaran, dengan menggunakan cincin tersebut, masyarakat dapat mengetahui bahawa suatu individu itu akan berkahwin atau telah berkahwin. Mereka dapat membuat suatu tafsiran dan andaian melalui peristiwa atau sesuatu yang dapat mereka lihat.
         Dari hasil pengajian dari buku Traditional systems of indigenous peoples of Sabah, Malaysia – Felix Tongkul (2002) dan beberapa laman web terutamanya sabah.edu.my, kami mendapati isi kandungan yang terdapat dalam buku dan web tersebut adalah mengenai adat perkahwinan masyarakat Kadazandusun di Penampang, Sabah. Kandungan adat dan pantang larang perkahwinan masyarakat kadazandusun telah dicetak dan dimuat turunkan dalam sumber tersebut. Seterusnya, kami juga turut mengambil maklumat daripada laman web Sabah Tour. Antara yang dimuatkan dalam laman web tersebut adalah memberitahu bahawa adat perkahwinan masyarakat Kadazandusun sungguh unik dan mempunyai pelbagai upacara dalam proses perkahwinan tersebut. Fakta tersebut amat berguna untuk kajian ini kerana kami boleh mencari lebih banyak maklumat dan maklumbalas mengenai hal tersebut. Selain itu, kami juga dapat membuat perbandingan adat perkahwinan Kadazandusun di daerah lain seperti Papar. Perbezaannya tidaklah terlalu ketara cuma perbezaan dari segi bunyian muzik, dialek, pukulan gong dan adat.

METODOLOGI : TEMU RAMAH TENTANG PERKAHWINAN KADAZANDUSUN

1.   Apakah perbezaan antara kadazan di setiap daerah?
Berbeza dari segi pakaian, dialek , muzik dan lain-lain
(Penampang dan Papar mempunyai identiti sendiri
   Perbezaan dari segi:-
a)    Muzik – pukulan gong
b)   Dialek – rumah : Hamin (kadazan) , Hudai (dusun)

2.   Asal usul kadazan penampang (Mitos orang tua)
- Berasal dari perkataan penampang yang bermaksud batu besar
- Bila batu terbelah, keluar budak lelaki dan perempuan.
- Sumber makanan mereka ialah mata air dari batu besar tersebut.
- Apabila meningkat dewasa, mereka berkahwin dan lahirlah keturunan kadazan di
Penampang.

3.   Perbezaan Kadazan dan Dusun
- Kadazan tinggal di Pekan
- Dusun tinggal di pendalaman
- melibatkan politik

Orang Kadazan tidak mahu digelar Dusun kerana  kebanyakan mereka tinggal di Pekan, jadi mereka mengelar diri mereka sebagai keturunan Kadazan.

4.   Prosedur perkahwinan
-Setiap daerah mengamalkan adat yang sedikit berbeza.
Di daerah Penampang,
a) Monohuku (merisik)
- sudah berpunya / belum (bertanya)
- selidik salah silah keluarga
- saudara rapat tidak boleh berkahwin

Jika dahulu proses merisik akan melibatkan keluar masuk hutan kerana rumah didirikan berjauhan. Apabila masuk ke dalam hutan, tidak boleh menggunakan nombor genap ( sebab tidak mahu terlalu teruja ) . Maksimum adalah 7 orang sahaja.Sekiranya bunyi burung terpipi berbunyi sekali, maka perjalanan tersebut haruslah dibatalkan. Apabila tidak boleh meneruskan perjalanan, seorang wakil akan dihantar kepada pihak pertanyaan (tempat merisik) untuk memberitahu bahawa mereka akan pergi pada keesokkan hari. Jika hari kedua burung terpipi masih berbunyi, itu bermaksud burung tersebut hanya bermain-main, jadi mereka masih boleh meneruskan perjalanan.

b) Bertunang
    - berbincang tentang hantaran atau nopung
    - Contoh : 2 ekor lembu sama ada mati ataupun hidup (masih diamalkan)
    - 1 set gong (tidak diamalkan)
    - meriam tembaga (hanya yang kaya akan minta)
Lelaki / perempuan yang berkahwin dahulu sebelum adik-beradik yang di atas mereka (kakak / abang) , mereka haruslah membayar kepada adik-beradik tua mereka.

Jika mendapat mimpi buruk, ibu bapa bakal pengantin akan merujuk kepada bobohizan untuk menafsir maksud mimpi mereka. Cincin tunang diperbuat daaripada tembaga kerana pada zaman dahulu susah untuk mencari emas, tetapi sekarang ramai yang menggunakan emas.

c) Mihoupiniti (perkahwinan)
   - semasa perkahwinan, di tangga rumah pengantin perempuan harus diletakkan 
batu.
   - disediakan siung iaitu topi petani
   - 7  jenis  daun  yang  dipilih   bobohizan digunakan untuk merenjis air hujan
kepada pengantin semasa upacara yang bermaksud rezeki akan turun kepada
mereka.
   - pengantin akan  memijak  batu di tangga  sebelum  ke pelamin  yang  membawa 
erti  perkahwinan akan tahan seperti batu.
   - Siung akan dipakaikan kepada pengantin dengan tujuan untuk menghalau nasib
malang / sial yang mengikuti mereka sepanjang perkahwinan mereka.
   - Pelamin = duduk di atas tikar dan makan beribadat.
   - makan beribadat :-
~  paha ayam ( simbol ayam ialah memerlukan satu sama lain, ayam tidak akan
boleh berjalan jika hanya menggunakan 1 kaki)
        ~ sup lihing
        ~ lihing ( air tapai)
        ~ nasi ( simbol kadazandusun untuk kehidupan / pemakanan asas ) pengantin 
       akan suap antara satu sama yang lain.
Setelah selesai, pengantin akan menarikan tarian pertama mereka iaitu Tarian Sumazau.
Majlis akan berlansung 3 hari 3 malam / 7 hari 7 malam sekiranya keluarga tersebut daripada golongan yang kaya.
Sebelum berkahwin, iaitu dalam tempoh 1 minggu, gong akan dimainkan untuk memanggil / menunggu saudara mara yang datang dari jauh.

5.   Siapakah yang memberi hantaran?
Pihak lelaki yang memberi hantaran, ( RM 30 000 , 22 ekor kerbau/ babi sama ada mati mahupun hidup).

6.   Jika saudara terdekat (sepupu , 2 , 3 pupu ) terlanjur cinta
Boleh berkahwin tetapi mempunyai prosedur tertentu :-
bobohizan – menyembelih babi  di sungai dan mereka dimandikan dengan darah itu. (maksudnya : putus tali persaudaraan  dan membuang sial /malang )

7.   Jika sesama adik-beradik bercinta
 Orang kampung akan membuat rakit yang dibekalkan ayam dan beras dan mereka akan dihanyutkan melalui sungai. Tidak kisah antara mereka hidup atau mati kerana ini akan membawa sial /malang kepada kampung.
Bobohizan haruslah membuat munggit ( upacara ) untuk membuang sial kerana Tuhan tidak menerima percintaan sesama adik-beradik.
Jika berkahwin sesama adik-beradik , akan mendapat anak yang cacat.
Tujuan monggit adalah untuk mengamankan kampung itu kembali.

8.   Kisah di kampung Monsopiad
Terdapat sebatang pokok yang bernama tonibeton.
 - kayu yang paling tahan di Borneo.
 - digunakan untuk membuat tiang rumah
 - setaraf kayu berlian.
Orang kampung terjumpa adik-beradik yang bercinta.
Ibu bapa mereka yang kecewa marah, dan terus membunuh 2 beradik itu dan dihanyutkan mayat mereka ke sungai dengan menggunakan rakit.
Roh adik-beradik itu dikatakan tidak aman dan akan menganggu pekerja yang bercinta di kawasan Monsopiad Cultural Village.

9.   Makan Pitas
 (makanan tradisi yang mengeratkan saudara yang jauh) sebelum berkahwin dengan 
membuat parti kecil.

10.           Kirai/ tembakau
sebagai kiraan semasa hendak masuk meminang

11.           Baju apakah yang dipakai oleh pengantin?
Baju hitam yang dipanggil molodu ( kain baldu) dan dicorakkan dengan siling (lace) emas dan merah.Tali pinggang yang diilit tiga kali diperbuat aripada duit syilling abad ke-20  cincin tembaga tangkong.

12.           Bagaimanakah dengan cincin perkahwinan?
Jika dahulu diperbuat daripada tembaga, tetapi sekarang menggunakan emas. Terdapat dua cincin iaitu cincin semasa pertunangan dan cincin semasaperkahwinan.

13.           Pantang larang sebelum bernikah.
Jika sudah bertunang, bakal pengantin tidak boleh keluar malam / balik pada waktu malam (darah manis).
Jika hampir waktu berkahwin,bakal pengantin hanya disuruh duduk dirumah bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
Jika seseorang bakal pengantin tiba-tiba meminati perempuan lain, lelaki itu akan dikenakan sagit (denda) seperti seekor kerbau jika didengar oleh orang kampung.

14.           Adakah bakal pengantin dibenarkan berjumpa sebelum berkahwin?
(Dahulu) tidak boleh berjumpa kerana masing-masing boleh menyediakan kelengkapan perkahwinan.
(Sekarang) boleh jumpa kerana majlis dibuat di dewan dan bersama-sama mencari kelengkapan perkahwinan.

15.           Selepas berkahwin, siapa yang akan duduk di rumah siapa?
Pengantin lelaki yang akan duduk di rumah ibu bapa pengantin perempuan.
Tujuannya untuk mengenali ahli keluarga dengan lebih rapat selama 3 hari atau 7 hari (bergantung dengan ibu bapa  pengantin perempuan).

16.           Adakah perkahwinan yang diatur dari kecil atau mengikut pilihan keluarga?
Ya, zaman dahulu kanak-kanak  lelaki yang berusia 7 tahun dan kanak-kanak perempuan yang berusia 5 tahun, ibu bapa sudah mengaturkan perkahwinanuntuk mereka jika dewasa. Pada usia seawal 11 atau 12 tahun, mereka sudah boleh berkahwin .
Mengikut pendapat etnik ini, perkahwinan yang diatur oleh ibu bapa lebih kekal lama berbanding pilihan sendiri.

17.           Apakah peranan bobohizan?
Mencadangkan tarikh yang sesuai untuk merisik, bertunang, dan berkahwin. ‘Blessing’ merupakan upacara mentafsir mimpi dalam masa bertunang. Boleh dibaca lagi di sudon sebelumnya. Kebanyakan ialah wanita menjadi bobohizan kerana mereka duduk di rumah. Jika lelaki, siang keluar bekerja.

18.           Semasa merisik , apakah prosedur yang dilakukan?
Merisik – bercakap-cakap , bersyair , menyanyi.
Jika seseorang lelaki meminati seseorang perempuan, lelaki itu hanya lihat dari jauh dan ibu bapa lelaki itu akan menyiasat perempuan itu.
Lelaki dan perempuan tidak boleh berkenalan dan duduk berdekatan sesama mereka kerana ini akan menjatuhkan reputasi perempuan tersebut. Lelaki itu akan dikenakan denda.
Informasi Tambahan
  - Bertunang akan mengambil masa 1 tahun.
  - Jika pertunangan dibatalkan, pihak lelaki/ perempuan perlu membayar hantaran   
dua kali.
  - Jika lelaki yang memberi hantaran , hanya lelaki yang akan bayar.


KERANGKA TEORI DAN KONSEP SEMIOTIK SECARA UMUM
Teori semiotik atau sistem tanda adalah teori tentang pemberian ‘tanda’.Secara lebih mendalam, semiotik mempunyai tiga konsep dasar yang utama iaitu semiotik pragmatik, semiotik sintatik dan semiotik semantik.
Untuk semiotik pragmatik, ianya menguraikan tentang asal usul tanda, kegunaan tanda oleh sesuatu yang menerapkannya dalam batas perilaku subjek.Dalam arsitektur, semiotik pragmatik merupakan tinjauan tentang pengaruh ersitektur terhadap manusia dalam menggunakan bangunan.Semiotik pragmatick arsitektur berpengaruh terhadap indera manusia dan perasaan peribadi iaitu posisi tubuh, otot dan sendi. Hasil karya arsitektur akan bermakna sebagai suatu hasil persepsi oleh pengamatnya. Hasil persepsi tersebut kemudian dapat mempengaruhi pengamatnya sebagai pemakai dalam menggunakan karya arsitektur. Dengan kata lain, hasil karya arsitekturadalah wujud dan dapat dipengaruhi oleh pengamatnya.
Semiotik sintatik pula adalah tentang kombinasi tanda tanpa memperhatikan maknanya atau hubungannya terhadap perilaku subjek.Semiotik sintaktik ini mengabaikan pengaruh akibat subjek yang mengintepretasikan.Dalam arsitektur, semiotik sintaktik merupakan tinjauan tentang perwujudan arsitektur sebagai panduan dan kombinasi dari pelbagai sistem tanda. Hasil karya arsitektur akan dapat dihuraikan secara komposisional dan ke dalam bahagiannya. Hubungan antara bahagiannya juga akan dapat dihuraikan secara jelas.
Bagi semiotik semantik, ianya menguraikan tentang pengertian suatu tanda sesuai dengan erti yang disampaikan.Dalam arsitektur, semiotik semantik merupakan tinjauan tentang sistem tanda yang sesuai dengan erti yang disampaikan.Hasil karya arsitektur merupakan perwujudan makna yang ingin disampaikan oleh perancangan yang disampaikan melalui ekspresi.Perwujudan bermakna sesutau rancangan yangakan terhasil jika makna atau erti yang ingin disampaikan oleh perancang melalui rancangannya dapat difahami dan diterima secara tepat oleh pengamatnya. Jika ekspresi yang ingin disampaikan perancang sama dengan persepsi pengamatnya juga, boleh dikatakan perwujudan sesuatau rancangan itu berhasil.

 MAKNA TEORI SEMIOTIK
(a)  C.S Peirce
Beliau mengemukakan teori semiotik sebagai teori segitiga makna yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu tanda, objek dan pengguna tanda.Tanda menurut Peirce terdiri dari simbol, ikon dan indeks.Objek atau acuan tanda adalah konteks sosial yang menjadi rujukan dari tanda atau sesuatu yang merujuk kepada tanda.Pengguna tanda pula adalah konsep pemikiran dari orang yang menggunakan tanda dan menurunkannya ke suatu makna tertentu.

(b) Ferdinand De Saussure
Menurut beliau, teori semiotik dibahai kepada dua bahagian iaitu penanda dan petanda.Penanda dilihat sebagai bentuk fisik yang dapat dikenali melalui wujudnya karya arsitektur.Petanda pula adalah dilihat sebagai sesuatu yang terungkap melalui konsep, fungsi dan nilai-nilai yang terkandung dalam karya arsitektur.

(c)  Roland Barthes
Roland Barthes mengembangkan teori semiotik menjadi dua tingkat pertandaan iaitu denotasi dan konotasi.Denotasi adalah tingkat pertandaan yang menjelaskan hubungan penanda dan petanda pada realiti.Konotasi pula adalah tingkat pertandaan yang menjelaskan hubungan penanda dan petanda yang didalamnya beroperasi makna yang tidak dieksplisit atau tidak langsung dan tidak pasti.

(d)  J. Derrida
Menurut Derrida, teori semiotic adalah model semiotik dekonstruksi. Konsep dekonstruksi dumulakan dengan konsep demistifikasi iaitu pembongkaran produk fikiran yang rasional yang percaya kepada kemurnian realiti.

(e)  Umberto Eco
Umberto Eco menganggap tugas ahli semiotik sebagai menjelajahi hutan dan ingin memusatkan perhatian pada modifikasi sistem tanda.

(f)   Ogden dan Richard
Ogden dan Richard mengembangkan lagi teori semiotik denga mengatakan petanda meupakan konotasi dari penanda, sedangkan peranti merupakan denotasi dari penanda.Pada teori ini, petanda merupakan makna, konsep dan gagasan.Penanda pula adalah gambaran yang menjelaskan peranti, penjelasan fisik objek berupa ciri-ciri bentuk,ruang, permukaan da nisi padu tertentu.

DAPATAN KAJIAN
a.    Teori Semiotik – Verbal
Salah satu bentuk komunikasi yang disampaikan penyampai kepada penerima dengan cara bertulis (written) atau lisan (oral). Komunikasi verbal menepati porsi besar. Kerana kenyataannya, idea-idea, pemikiran atau keputusan, lebih mudah disampaikan secara verbal berbandingan dengan non verbal. Dengan matlamatnya, pendengar mahupun pembaca  dapat mengetahui dan lebih memahami pesanan yang ingin atau telah disampaikan.

1.    Monohuku – bermaksud merisik dalam bahasa Kadazandusun dialek daerah Penampang. Semasa merisik, ibu bapa pihak lelaki akan bertanyakan sama ada si perempuan telah berpunya atau belum. Ibu bapa atau wakil pihak lelaki akan menanyakan perihal perempuan dalam bentuk pantun, syair dan lagu
2.    Mouaboi – bermaksud meminang. Ibu bapa pihak perempuan akan memanggil pihak lelaki untuk membawa cincin jika dapati risikan itu dapat dipertimbangkan.
3.    Mihoupiniti – bermaksud berkahwin. Jika pinangan diterima, ibu bapa pihak perempuan akan meneruskan perkahwinan.
4.    Sugit – denda yang dikenakan untuk pelbagai kesalahan semasa proses peminangan sehingga perkahwinan.
b.    Teori Semiotik – Non Verbal
Menempati porsi penting. Banyak komunikasi verbal tidak berkesan sekiranya penyampai tidak menggunakan komunikasi non verbal dengan baik. Melalui komunikasi non verbal, orang ramai mengambil suatu kesimpulan mengenai suatu kesimpulan tentang berbagai macam perasaan orang, baik rasa senang, benci, cinta, rindu dan lain-lain. Bentuk komunikasi non verbal terdiri daripada bahasa isyarat, ekspresi wajah, simbol-simbol, pakaian sergam, warna dan intonasi suara.
1.    Adat Merisik Kadazandusun Daerah Penampang
Bunyi burung terpipi berbunyi sekali, tandanya perjalanan tersebut haruslah dibatalkan. Namun Jika hari kedua burung terpipi masih berbunyi, itu bermaksud burung tersebut hanya bermain-main, jadi mereka masih boleh teruskan perjalanan.

2.    Adat Meminang Kadazandusun Daerah Penampang
(a)  cincin pusaka
·         dibuat daripada tembaga
·         juga digelar 'cincin menanti mimpi'
·         mesti dibawa pada waktu pagi.

(b) Tiga keadaan mimpi.
·         Mimpi pertama
-       Mimpi baik
-       Erti : risikan itu boleh diteruskan kepada proses peminangan.

·         Mimpi kedua
-       Mimpi buruk dapat dibaiki atau diperbetulkan.
-       Erti : proses pertunangan boleh diuruskan dengan syarat pihak lelaki harus membayar sugit kepanasan mimpi kepada orang yang bermimpi itu.
-       Contoh : barang-barang yang pecah seperti periuk atau pinggan-mangkuk

·         Mimpi ketiga
-       Mimpi buruk yang tidak boleh diperbaiki
-       Erti : proses risikan itu berhenti setakat itu sahaja dan perkahwinan tidak boleh dilangsungkan.
-       Contoh : akan periuk belanga, kuali, pinggan mangkuk, tempayan atau apa sahaja barang kegunaan harian yang telah pecah

3.    Adat Bertunang (Momuaboi) Kadazandusun Daerah Penampang
(a)  Semasa proses bertunang , kirai atau tembakau dijadikan tanda sebagai kiraan semasa hendak masuk meminang. Tanda tersebut menandakan bahawa kirai merupakan penanda non-verbal yang telah digunakan oleh masyarakat Kadazandusun daerah Penampang.

4.    Adat Perkahwinan Kadazandusun Daerah Penampang

(a)  Batu
·         simbolik terhadap kekuatan batu tersebut sebagai kekuatan perkahwinan pasangan pengantin.
·         Pengantin akan memijak batu di tangga sebelum ke pelamin dan ini diertikan dengan perkahwinan mereka akan bertahan kuat seperti batu
(b) Siung ( Topi Petani )
·         Ini dipakaikan kepada pengantin sebagai simbolik untuk menghalau nasib sial atau malang yang mengikuti pasangan pengantin semasa perkahwinan mereka.
(c)  Tarian sumazau
·         Pengantin akan menari tarian sumazau selepas selesainya segala upacara. Ini juga boleh dikatakan tarian pertama pengantin (bersama pasangan sendiri)
(d)  7  jenis  daun
·         Yang  dipilih bobohizan digunakan untuk merenjis air hujan kepada pengantin semasa upacara yang bermaksud rezeki akan turun kepada mereka.
(e)  Paha ayam
·         simbol ayam ialah memerlukan satu sama lain, ayam tidak akan boleh berjalan jika hanya menggunakan satu kaki
(f)   Nasi
·         simbol kadazandusun untuk kehidupan / pemakanan asas
(g)  Darah Khinzir
·         Digunakan sebagai mandian untuk pasangan sepupu atau saudara jauh yang ingin berkahwin. Dikatankan untuk memutuskan talian persaudaraan dan membuang sial.

5.    Sejarah Masyarakat Kadazandusun Di Kampung Mansopiad, Penampang.
(a)  Batu besar
·         Yang memberikan nama kepada daerah Penampang.

LATAR SUBJEK DAN LOKASI KAJIAN
Kadazandusun merupakan kaum bumiputra terbesar di negeri Sabah. Sebenarnya terdapat suatu kumpulan etnik yang bersifat kolektif serta menggunakan bahasa yang sama dengan dialek berlainan.Menurut Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), kumpulan etnik Kadazan dan Dusun ini mempunyai persamaan dari segi kebudayaan serta kepercayaan tradisional. Di dalam kumpulan etnik ini sendiri pula wujud 10 jenis sub bahasa yang mempunyai 30 dialeknya. Setiap daerah mempunyai dialek bahasa Kadazannya sendiri. Sesetengah daripada masyarakat kaum Kadazan lebih gemar menggunakan gelaran Dusun sebagai nama kaum mereka manakala masyarakat di Penampang atau Papar pula menggunakan nama kaum Kadazan. Orang Kadazandusun mengamalkan kepercayaan animistik serta semangat dalam setiap hidupan alam ini. Kebanyakkan mereka telah pun meninggalkan amalan ini kerana kedatangan agama Kristian dan Islam dalam kehidupan mereka. Segelintir golongan tua masih lagi mengamalkannya terutamnya mereka yang tinggal di pedalaman Sabah. Walaupun begitu, akibat arus pemodenan kini bilangan mereka sudah kian berkurangan. Orang Kadazan kini menjadikan amalan lalu hanya sebagai kenangan atau sebagai sebahagian daripada adat mereka sahaja dan tidak mengamalkannya secara serius. Seperti adat perkahwinan di Penampang, ia dahulunya mempunyai cara yang tersendiri mengikut tradisi dan mitos. Disebabkan perkembangan era pembangunan dan peredaran zaman, tidak semua tradisi masih diamalkan. Natijahnya, masih ada lagi adat yang dikekalkan dalam tradisi perkahwinan ini walaupun sedikit perbezaan supaya adat resam perkahwinan dikekalkan.

LATAR BELAKANG MASYARAKAT KADAZANDUSUN
Kaum Kadazandusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah. Kaum ini juga dikenali sebagai "Momogun" atau "Mamasok" yang masing-masingnya bermaksud "orang asal".Kaum etnik Kadazandusun ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional.Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.
Pada mulanya Tun Fuad Stephens, HuguanSiou (PemimpinAgung) pertama Kadazan, mencadangkan istilah Kadazan digunakan bagi menyatukan 14 suku kaum yang berkongsi kumpulan bahasa bagi memberikan mereka suara yang lebih besar. Ini dipersetujui oleh ramai, tetapi sesetengah orang Dusun mahukan atonomi lebih besar, dengan itu istilah Kadazandusun dipilih sebagai tolak-ansur.
Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Dusun yang merupakan satu pertiga dari penduduk Sabah. Suku kaum Dusun yang tinggal di pantai barat seperti Penampang, Papar, Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud dan juga di lembah bukit di Ranau, Tambunan, dan Keningau adalah petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma. Sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai.Mereka kebanyakan bertempat di sekelilingi kawasan lembah pantai barat dan kawasan pendalaman.
Lazimnya masyarakat dari pada subetnik yang disebut di atas adalah berasal (mendiami) daripada kawasan-kawasan (daerah) tertentu umpamanya Kimaragang di daerah Kota Marudu, Lotud di daerahTuaran, Orang Sungai di daerah Kinabatangan, Sugut, Paitan dan Pitas. Kebanyakan orang Kadazan-Dusun menganuti agama Kristian. Bagi Orang Sungai yang tinggal di daerah Pitas, mereka menganut agama Islam manakala daerah-daerah lain seperti Kinabatangan (Tongod) dan Paitan, Orang Sungai beragama Islam dan Kristian.Masyarakat Lotud (SuangLotud) turut mendiami kawasan Pantai Barat Selatan negeri Sabah terutamanyaTuaran, Tamparuli, Telipok dan sedikit di Kota Belud (Tempasuk). Mereka hidup secara kolektif dengan mendiami rumah panjang yang mengumpulkan beberapa keluarga, iaitu antara 150 - 200 orang.Walaubagaimanapun, pada masa kini, rumah panjang jarang dilihat dalam etnik ini.Kebanyakannya telah mengalami pembangunan fizikal dan mental.
Istilah Kadazan-Dusun ini wujud dari hasil penggabungan etnik Kadazan dan Dusun serta beberapa etnik kecil lain. Penggabungan ini adalah akibat pertelingkahan politik.Lagipun, perbezaan antara kaum Kadazan dan Dusun tidaklah begitu berbeza dan kasar.Beza antara bahasa Kadazan dan Dusun ialah seperti bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia.

SEJARAH MASYARAKAT KADAZANDUSUN DI KAMPUNG MANSOPIAD, PENAMPANG
Kampung Mansopiad sendiri mempunyai sejarahnya yang dicipta oleh masyarakat Kadazandusun di daerah Penampang.Kampung Mansopiad diambil sempena memperingati Mansopiad sebagai ‘HuguanSiou’ bagi masyarakat Kadazandusun dan sebuah monumen telah didirikan serta dinamakan ‘Monsopiad Cultural Village’. Mansopiad adalah nama seorang lelaki yang telah berjaya memenggal 42 kepala manusia sepanjang riwayatnya. Kepala-kepala yang dipenggal oleh Mansopiad adalah kepala mereka yang telah mencuri hasil pertanian dan ternakan masyarakat kadazandusun di Kampung Kuai Kandazon, Penampang.Antara kepala-kepala yang dipenggal oleh Mansopiad, terdapat tiga kepala pencabar Mansopiad yang dikatakan tidak senang hati dan tercabar serta ingin berlawan dengan Mansopiad bagi menunjukkan siapakah yang lebih handal di seluruh daerah Penampang.Mereka ialah Gantang, Manggung dan Sangkad.Mereka Berjaya ditewaskan oleh Mansopiad dan kepala-kepala mereka juga berjaya dipenggal.
Sejak lahir lagi Mansopiad dikatakan istimewa kerana ketika Mansopiad dilahirkan oleh Kizabon iaitu ibu Mansopiad, Dunggou, bapa Mansopiad terdengar bunyi seekor ‘Bugang’ di atas bumbung rumah mereka.Dunggou menganggap peristiwaitu terlalu istimewa lalu dia ternampak satu sarang burung di atas bumbung rumahnya yang di dalamnya terdapat pecahan kulit telur ‘Bugang’ yang turut menetas.Dunggou menganggap kejadian itu sebagai satu petanda yang baik dan percaya bahawa anak lelaki yang baru dilahirkan itu adalah seorang yang perkasa.Setelah dewasa, Mansopiad diajar seni mempertahankan diri dengan menggunakan pedang oleh datuknya.Disamping itu, Mansopiad gemar melompat sungai-sungai dan parit-parit dan dikatakan lompatannya luar biasa.Mansopiad digilai ramai gadis kerana ketampanan dan susuk tubuhnya sehingga ramai yang ingin berkahwin dengannya.
Mansopiad mula memenggal kepala-kepala pencuri hasil pertanian masyarakat kadazandusun setelah dicabar oleh 40 orang gadis dan ganjarannya adalah segala permintaan Mansopiad akan ditunaikan oleh masyarakat kadazandusun. Mansopiad juga membuat permintaan khas iaitu dia harus digendong dan satu jamuan makan secara besar-besaran perlu diadakan dan semua orang harus berkumpul untuk menyambut kepulangannya.Mansopiad telah disambut dengan penuh tradisi sebagai seorang ‘Huguan Siou’ oleh golongan ‘bobohizan’ dan penduduk kampung.Perkara ini berterusan sehnggalah keadaan menjadi aman di kampong mereka.Mansopiad juga telah mengukir tanda pangkah bagi setiap kepala perompak yang Berjaya dipenggal pada sebuah batu.
Kematian Mansopiad pula disebabkan oleh sekumpulan mereka yang tidak dikenali yang ingin membunuh Mansopiad dengan meggunakan parang.Mansopiad Berjaya menewaskan penyerangnya dengan hanya menggunakan penumbuk.Walaubagaimanapun, Mansopiad telah tertumbuk dinding rumahnya yang diperbuat daripada bamboo kerana penyerangnya Berjaya mengelak.Perkara ini menyebabkan tangan Mansopiad luka dan dia terus melompat ke atas bumbung untuk melarikan diri dan bersembunyi ke dalam hutan.Mansopiad menderita kesakitan dan luka itu tidak dapat disembuhkan dan akhirnya dia meninggal lalu dikuburkan di atas bukit di Kampung Kuai Kandazon.Perjalanan ke bukit tersebut mengambil masa kira-kira 15 minit dan batu yang diukir oleh Mansopiad kemudiannya diletakkan di atas kubur Mansopiad.Kubur Mansopiad masih dapat dilihat sehingga sekarang di Mansopiad Culture Village, Penampang.
Kesimpulannya, kegiatan memenggal kepala juga wujud di Sabah sejak 300 tahun yang lalu berdasarkan penemuan tengkorak-tengkorak kepala manusia, pedang, batu nisan dan tugu peringatan serta masih kelihatan sehingga sekarang di Kampung Kuai Kandazon, Penampang.

TEORI STRUKTULISME :
Struktulisma berasal dari linguistic Ferdinan yang merupakan suatu cara berfikir tentang dunia secara khusus memperhatikan presepso dan deskripsi tentang struktur, untuk melihat tanda (Napiah 2008:14). Dalam adat perkahwinan, sesuatu struktur amat penting dan sememangnya tidak berbeza jauh dengan adat yang diturunkan dari dahulu dengan sekarang. Struktur dalam perkahwinan masyarakat Malaysia adalah sama iaitu dimulakn dengan merisik, meminang, bertunang dan akhir sekali berkahwin.

a.    ADAT MERISIK (MONOHUKU) KADAZANDUSUN DAERAH PENAMPANG
Jika seseorang lelaki meminati seseorang perempuan, lelaki itu hanya dapat melihat perempuan tersebut dari jauh dan ibu bapa lelaki itu akan menyiasat latar belakang perempuan itu. Lelaki dan perempuan tidak boleh berkenalan atau rapat antara satu sama lain kerana perlakuan ini akan menjatuhkan reputasi perempuan tersebut dan sekiranya diketahui lelaki itu akan dikenakan denda.

Pada zaman dahulu, sekiranya pergi merisik, rombongan risikan akan keluar masuk hutan kerana rumah pada waktu dahulu didirikan jauh-jauh. Bila masuk hutan, tak boleh nombor genap iaitu maksimum adalah 7 orang sahaja.
Sekiranya bunyi burung terpipi berbunyi sekali semasa perjalanan, maka perjalanan tersebut haruslah dibatalkan. Apabila tidak dapat meneruskan perjalanan, seorang wakil akan dihantar kepada pihak pertanyaan (tempat merisik) untuk memberitahu bahawa mereka akan pergi pada keesokan hari. Jika hari kedua burung terpipi masih berbunyi, mereka masih boleh teruskan perjalanan kerana bunyi itu bermaksud burung tersebut hanya bermain-main sahaja.

          Sebelum peminangan dibuat, pihak lelaki akan melantik seorang orang tua yang bukan terdiri daripada keluarga terdekat lelaki berkenaan. Segala urusan merisik dan juga pinang-meminang ini harus dibuat pada waktu pagi dan tidak dibenarkan pada waktu petang dan malam. Wakil pihak lelaki akan pergi merisik kepada ibu bapa perempuan yang hendak dipinang itu atau pengganti ibu bapa sekiranya perempuan itu merupakan anak yatim piatu.Terdapat beberapa peringkat dalam merisik.Risikan pertama dilakukan untuk mengetahui sama ada perempuan berada dalam proses risikan orang lain atau dia sedang dalam pertunangan. Sekiranya perempuan itu dalam pertunangan, risikan itu akan dihentikan dengan serta-merta.
        Sekiranya perempuan itu didapati sedang dalam proses risikan dengan atau daripada lelaki lain, risikan itu akan ditangguhkan buat sementara, sehingga keputusan muktamad diperoleh daripada risikan terdahulu itu.

Jika risikan yang terdahulu bertukar ke arah pertunangan, maka risikan yang kemudian itu harus dibatalkan.Tetapi sekiranya risikan terdahulu itu gagal, risikan yang kemudian itu boleh diteruskan.

     Risikan ini akan dibuat berulang kali, peringkat demi peringkat dan adakalanya memakan masa sehingga berhari-hari, malah ada yang sampai berbulan-bulan.
Hal ini kerana banyak perkara yang harus diketahui dengan lebih jelas oleh ibu bapa perempuan terhadap keluarga yang merisik anak mereka.Antara perkara yang harus diketahui dengan lebih jelas ialah susunan keluarga, kemampuan lelaki tersebut, pekerjaan dan sebagainya.

b.   ADAT MEMINANG (Momuaboi) KADAZANDUSUN DAERAH PENAMPANG
Apabila ibu bapa perempuan mendapati risikan itu boleh dipertimbangkan, mereka akan menentukan hari bagi wakil pihak lelaki datang membawa cincin pusaka (dibuat daripada tembaga). Cincin itu juga digelar 'cincin menanti mimpi'.Cincin itu mesti dibawa pada waktu pagi.
Apabila ibu bapa perempuan sudah menerima cincin itu, mereka mesti membersihkan diri pada hari itu juga. Mereka tidak boleh makan atau minum apa sahaja yang boleh memabukkan. Cincin itu diletakkan di bawah bantal ibu bapa perempuan itu.Pada malam tersebut mereka mesti berada datam keadaan 'bersih', iaitu tidak mabuk. Pada malam itu juga, salah seorang daripada suami isteri itu atau kedua-duanya sekali akan mendapat mimpi. Adakalanya mereka berlainan mimpi, adakalanya hampir serupa dan adakalanya benar-benar serupa.

Biasanya mimpi itu mempunyai tiga keadaan. Pertama, mimpi baik, ini bererti, risikan itu boleh diteruskan kepada proses peminangan. Kedua, mimpi buruk.Tetapi mimpi buruk itu dapat dibaiki atau diperbetulkan.lni bererti, proses pertunangan boleh diuruskan dengan syarat pihak lelaki harus membayar sugit kepanasan mimpi kepada orang yang bermimpi itu.

Contoh mimpi yang dimaksudkan ialah seperti bermimpi tentang barang-barang yang pecah seperti periuk atau pinggan-mangkuk.Kemudiannya barang-barang yang pecah itu dibaiki oleh pihak lelaki.Ketiga, mimpi buruk. Contoh mimpi buruk ialah bermimpi akan periuk belanga, kuali, pinggan mangkuk, tempayan atau apa sahaja barang kegunaan harian yang telah pecah. Ini bererti proses risikan itu berhenti setakat itu sahaja dan perkahwinan tidak boleh dilangsungkan.

Hari berikutnya, ibu bapa perempuan tersebut memanggil semua keluarga terdekatnya bermesyuarat untuk membincangkan mimpi mereka.Jenis dan sifat mimpi diterangkan sejelas-jelasnya.Di dalam mesyuarat itulah mereka menganalisa baik dan buruknya mimpi itu.Di dalam mesyuarat itulah mereka menganalisa baik buruknya mimpi itu.Setelah selesai mesyuarat keluarga, ibu bapa perempuan memanggil wakil pihak lelaki untuk memberitahu tentang keputusan mimpi mereka.Ketika itu juga, cincin yang digunakan untuk “menanti mimpi” tadi dipulangkan.
c.    ADAT BERTUNANG KADAZANDUSUN DAERAH PENAMPANG
Setelah selesai mesyuarat keluarga, ibu bapa perempuan memanggil wakil pihak lelaki untuk memberitahu tentang keputusan mimpi mereka.Ketika itu juga cincin yang digunakan untuk menanti mimpi tadi dipulangkan. Pada waktu itu, wakil lelaki diberitahu sama ada boleh bertunang dengan membayar sugit kepanasan mimpi kerana mimpi buruk boleh dibaiki ataupun tidak boleh bertunang kerana mimpi buruk. Jika mimpi baik, proses pertunangan diteruskan. Perundingan antara pihak lelaki dengan ibu bapa pihak perempuan hanya berkisar pada syarat-syarat hantaranperkahwinan, menentukan tarikh perkahwinan dan kadar besar atau lamanya pesta perkahwinan itu. Pertunangan yang telah ditetapkan tidak boleh diingkari.Jika tidak, pihak yang ingkar terpaksa membayar seluruh atau separuh hantaran yang sudah ditentukan ketika mengikat pertunangan dahulu. Bayaran ini dibuat di depan pengadilan adat.
Hantaran kahwin atau nopung biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan, alat untuk adat istiadat dan barang untuk memperteguhkan semangat.Barang hantaran untuk memperteguhkan semangat ini dikenali sebagai tasor. Tasor ialah tempat pinang yang diperbuat danipada tembaga atau perak. Tasor ini dibawa sendiri oleh pengantin pada hari penrkahwinan.Alat untuk adat istiadat pula dinamakan tinokol iaitu terdiri daripada canang, gong dan tajau (tempayan).Jumlahnya menurut darjat orang yang berkahwin itu.Barangan ini juga dibawa pada hari perkahwinan.Jenis makanan pula ialah babi atau kerbau dan jumlahnya bergantung kepada kemampuan keluarga tersebut. Masyarakat Kadazandusun daerah Penampang masih lagi mengamalkan hantaran 2 ekor lembu sama ada mati ataupun hidup.Binatang tersebut diberikan kepada pihak perempuan dua atau tiga hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan. lni kerana binatang itu akan disembelih dan dimasak untuk upacara makan di rumah pengantin perempuan nanti. Sebuah tajau berisi tapai beras yang dinamakan lihing, mesti dibawa pada hari perkahwinan.Lihing ialah tapai yang sudah menjadi arak.Lihing diminum beramai-ramai dalam pesta kahwin di rumah pengantin perempuan. Selain daripada empat hantaran yang menjadi asas bagi orang Kadazan, terdapat beberapa barangan lain yang turut dibawa untuk memperlengkap dan memperindahkan majlis hantaran itu. Ini terserah kepada janji yang dibuat semasa majlis pertunangan, juga berdasarkan kemampuan kedua-dua belah pihak.Tambahan pula, sekiranya pengantin lelaki atau perempuan yang berkahwin dahulu sebelum adik-beradik yang di atas mereka iaitu kakak atau abang, mereka haruslah membayar kepada adik-beradik tua mereka.

d.    ADAT PERKAHWINAN (MIHOUPINITI) KADAZANDUSUN DAERAH PENAMPANG
Hantaran kahwin biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan, alat untuk adat istiadat dan barang untuk memperteguhkan semangat. Pihak lelaki yang akan memberi hantaran iaitu RM 30,000 serta 22 ekor kerbau atau babi. Barang hantaran untuk memperteguhkan semangat ini dikenali sebagai tasor. Tasor ialah tempat pinang yang diperbuat daripada tembaga atau perak. Tasor ini dibawa sendiri oleh pengantin pada hari perkahwinan.Alat untuk adat istiadat pula dinamakan 'tinokol' iaitu terdiri daripada canang, gong dan tajau (tempayan).Jumlahnya menurut darjat orang yang berkahwin itu. Barangan ini juga dibawa pada hari perkahwinan.Selain daripada empat hantaran yang menjadi asas bagi orang Kadazan Dusun, terdapat beberapa barangan lain yang turut dibawa untuk memperlengkap dan memperindahkan majlis hantaran itu. Ini terserah kepada janji yang dibuat semasa majlis pertunangan, juga berdasarkan kemampuan kedua-dua belah pihak.Serendah-rendah darjat perkahwinan itu mesti dibuat dengan upacara adat, pemujaan agama, pesta bersukaria dan makan minum.Sesingkat-singkat pesta pula adalah antara dua atau tiga hari di rumah pengantin perempuan. Majlis dibuat selama tiga hari tiga malam dan bagi golongan yang berkemampuan, majlis akan dibuat selama tujuh hari tujuh malam.
Semasa majlis perkahwinan berlangsung, di tangga rumah pihak pengantin perempuan akan diletakkan batu sebagai simbolik terhadap kekuatan batu tersebut sebagai kekuatan perkahwinan pasangan pengantin. Pengantin akan memijak batu di tangga sebelum ke pelamin dan ini diertikan dengan perkahwinan mereka akan bertahan kuat seperti batu. Selain itu, disediakan juga tujuh helai daun oleh bobohizan yang digunakan semasa upacara yang bermaksud rezeki akan turun kepada mereka. Bukan itu sahaja, semasa upacara ini, disediakan juga siung iaitu topi petani. Ini dipakaikan kepada pengantin sebagai simbolik untuk menghalau nasib sial atau malang yang mengikuti pasangan pengantin semasa perkahwinan mereka.
Jenis makanan pula ialah babi atau kerbau dan jumlahnya bergantung kepada kemampuan keluarga tersebut.Binatang tersebut diberikan kepada pihak perempuan dua atau tiga hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan.lni kerana binatang itu akan disembelih dan dimasak untuk upacara makan di rumah pengantin perempuan nanti. Sebuah tajau berisi tapai beras yang dinamakan lihing, mesti dibawa pada hari perkahwinan.Lihing ialah tapai yang sudah menjadi arak.Lihing diminum beramai-ramai dalam pesta kahwin di rumah pengantin perempuan. Selain itu, peha ayam juga dijadikan hidangan dalam makan beribadat sebagai simbolik ayam memerlukan satu sama lain kerana ayam tidak akan lengkap berjalan dengan menggunakan satu kaki sahaja.
Walaupun perkahwinan pasangan suami isteri itu sudah sah di sisi agama dan kepercayaan, mereka masih belum boleh bersatu pada hari dan malam pertama.Paling cepat mereka hanya boleh bersatu pada malam kedua, malah ada yang mengambil masa selama seminggu atau dua minggu berikutnya. Kesemuanya ini bergantung kepada besar atau lamanya majlis perkahwinan itu diadakan.Untuk membolehkan pengantin ni bersatu, satu upacara khas dibuat. Pasangan pengantin tersebut dikehendaki makan di dalam pinggan dan mangkuk yang sama. Upacara ini dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak. Ibu bapa pengantin lelaki tidak boleh sama sekali hadir di rumah pengantin perempuan sebelum pasangan itu sah bersatu.Perkara yang paling penting dalam upacara perkahwinan ialah miohon pinisi iaitu upacara menukar gumpalan nasi. Untuk memulakan upacara ini, pengantin lelaki dan perempuan duduk berhadapan di tengah-tengah bulatan gadis-gadis yang berpakaian tradisional berwarna hitam.Di hadapan mereka terletak seperiuk nasi dan kedua-dua pengantin akan menggenggam nasi dan periuk tersebut untuk dijadikan gumpalan sebesar telur ayam. Kemudian kedua-duanya akan bertukar-tukar gumpalan nasi itu, lalu dimakan. Upacara miohon pinisi merupakan nazar perkahwinan menurut cara tradisional. Setelah upacara ini dilakukan, makanan dan minuman pun dihidangkan kepada para tetamu yang hadir. Selepas selesai, pengantin akan menari tarian pertama mereka iaitu Tarian Sumazau. Selepas perkahwinan selesai, pihak lelaki haruslah duduk atau tinggal di rumah ibubapa pengantin perempuan.Hal ini bertujuan untuk mengenali dengan lebih rapat seluruh ahli keluarga.Tempoh masa yang diperlukan untuk pengantin lelaki tinggal bersama keluarga pengantin perempuan bergantung kepada pihak keluarga pengantin perempuan itu sendiri berkemungkinan dalam masa tiga atau tujuh hari.
Dalam setiap upacara perkahwinan semestinya mempunyai pantang larang atau perkara yang tidak digalakkan untuk terjadi dan tidak terkecuali kepada kaum etnik ini.Apabila pasangan sudah bertunang, mereka tidak dibenarkan keluar malam bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Jika bakal pengantin lelaki meminati seseorang perempuan lain maka, lelaki tersebut akan dikenakan sagit(denda) seperti seekor kerbau sekiranya perkara tersebut didengari oleh orang-orang kampung. Selain daripada itu, jika saudara terdekat terlanjur cinta maka mereka boleh dibenarkan berkahwin tetapi mempunyai beberapa proses adat isitiadat. Adat yang perlu mereka jalani ialah bobohizan perlu menyembelih babi di sungai dan pasangan itu perlu dimandikan dengan darah haiwan tersebut bagi memutuskan tali persaudaraan serta sekaligus membuang sial atau nasib malang. Bukan itu sahaja, jika perkara terlanjur cinta ini berlaku dalam kalangan adik-beradik maka, orang kampung akan membuat rakit serta dibekalkan ayam dan beras dan sekaligus menghanyutkan mereka melalui sungai. Segala perkara yang berlaku pada pasangan tersebut samada hidup atau mati, tidak akan dipeduli oleh orang kampung kerana ini akan membawa sial atau malang kepada kampung berkenaan. Seterusnya, bobohizan akan membuat upacara ( munggit ) untuk membuang sial dan malang kerana Tuhan tidak menerima kisah percintaan mereka sesama adik beradik. Upacara ini bertujuan khususnya untuk mengembalikan keamanan kepada kampung tersebut.

RUMUSAN
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang hidup dalam suasana yang penuh harmoni.Adat upacara perkahwinan selalu mendapat perhatian penuh dari semua golongan di Malaysia.Di sebalik keramaian yang penuh warna warni, upacara melambangkan perpaduan kaum yang mempunyai latarbelakang budaya dan adat resam yang berbeza. Bak kata Seniman Veteran Negara, Senator Tan Sri Jins Shamsudin: “Tradisi perkahwinan pelbagai etnik di Malaysia perlu dikekalkan bagi menyemarakkan perpaduan kaum disamping menarik lebih ramai pelancong asing”. Senario ini secara langsung membuktikan bahawa budaya perkahwinan pelbagai kaum di negara ini mampu menjadi simbolik 1 Malaysia.


Apabila menerima tugasan yang diberi, kami tidak melepaskan peluang untuk mendekati dan mengkaji masyarakat Kadazandusun kerana terlalu banyak perkara yang ingin kami rungkai tentang etnik yang amat unik dan istimewa ini. Menyelami budaya masyarakat Kadazandusun  membuatkan kami agak terkilan kerana banyak  perkara  yang  telah  ditinggalkan. Walaupun adat ini masih diamalkan tetapi pengisiannya amat berbeza. Adat-adat lama dalam majlis ini kebanyakkannya dipengaruhi oleh cara hidup zaman moden. Oleh hal yang demikian, ianya telah digantikan dengan tatacara yang bersesuaian dengan cara hidup masyarakat kini. Setakat mana institusi perkahwinan dan keluarga dalam masyarakat Kadazandusun dapat kekal sebagaimana dengan apa yang pernah diamalkan pada masa dahulu, atau yang masih diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun yang tinggal di desa tidaklah dapat dipastikan. Ini kerana masyarakat Kadazandusun yang yang terdiri daripada pelbagai etnik-etnik kecil mempunyai pandangan yang berbeza. Pandangan yang berbeza itu sudah pasti akan mempengaruhi kehidupan masyarakat Kadazan Dusun. Implikasinya institusi perkahwinan dan keluarga  dalam masyarakat Kadazandusun telah mengalami banyak perubahan. Masyarakat Kadazan Dusun banyak mengalami proses asimilasi  berbanding  etnik  lain.  Segelintir  generasi  muda  zaman sekarang sukar untuk diterima sebagai masyarakat Kadazandusun yang tulen memandangkan segala kehidupan telah bertukar kepada masyarakat tempatan. Generasi muda sekarang semakin hilang nilai adatnya kerana lebih bersifat moden dan kontemporari seiring dengan modenanisasi yang berlaku. tetapi tidak dapat dinafikan,kebudayaan ini masih dipegang cuma pengisian dan caranya lebih moden berbanding dahulu. Hasil daripada tugasan ini, kesimpulan yang kami dapati adalah terdapat banyak adat resam dankepercayaan masyarakat Kadazandusun yang telah ditinggalkan kerana selain daripada mengalami proses asimilasi, ada di antara adat dan kepercayaan itu tidak bersesuaian dengan kehidupan zaman sekarang.

5 comments:

  1. Apakah kaedah kajian bagi melaksanakan kajian ini? Adakah ia hanya menggunakan buku ilmiah dan sumber dari Internet? Serta temu bual bersama para responden? Adakah juga ia termasuk dengan soal selidik kepda para responden?

    ReplyDelete
  2. dimana boleh dapatkan buku tentang adat perkhawinan kadazan dusun?

    ReplyDelete
  3. Jade Emerald, saya tolong jawab lajh kio. saya dapati maklumat dalam penulisan ini diambil dari Monsopiad Centre di Penampang. kaeah yang penulis gunakan adalah temubual dan maklumat sekunder.

    Unknown.... anda boleh mendapat buku berkaitan dengan adat perkahwinan kadaandusun di KDCA atau KLF atau di Perpustakaan Tun Fuan Stephen dan Jabatan kadaandusun di Fakulti Sains Sosial , Universiti Malaysia Sabah. tyq

    ReplyDelete
  4. Boleh sy tahu. Siapa penulis artikal ini?

    ReplyDelete
  5. hi, saya mahu bertanyakan pada admin, saya ada dikenakan sogit telah dikatakan menganggu anak perempuan kadazan, jadi mereka meminta 1 kerbau sebagai pampasan nya.Apakah terjadi jika saya tidak memberinya? dan adakah saya wajib berkahwin dengan wanita tersebut jika memberi kerbau tersebut?

    ReplyDelete