Thursday 29 January 2015

Kejatuhan Tamadun Islam

PENGENALAN
Masyarakat Islam semestinya bersyukur dengan perkembangan Islam di mana pada ketika ini di Rom,Itali terdapat 50,000 orang telah memeluk Islam. Ini adalah disebabkan Itali kini merupakan diantara negara yang paling tinggi kadar komunikasi masyarakatnya kepada Islam. Di kota Vatican, Rom kini sudah terbina salah sebuah masjid terbesar di Eropah.
Kita di Malaysia, sebagai umat Islam juga patut berbangga dengan kecanggihan teknologi dan sains tidak lupa terhadap keperluan agama seperti pembinaan surau Permata berhampiran pusat membeli-belah KLCC sebagai tempat solat.                                   
Namun begitu janganlah kita lalai dengan mengkagumi kehebatan teknologi dan sains kerana kegemilangan yang tidak berasaskan Tauhid kepada Allah akan menyebabkan umat hancur bersama arus permodenan. Ini dapat kita lihat dengan keruntuhan akhlak remaja dan pegangan agama yang lemah seperti kes murtad. Sebelum kita pergi lebih lanjut mari kita beringat dengan petikan teks di bawah :-
"Kerana nilai-nilai mulia di tinggalkan, kebendaan menjadi Tuhan, Nafsu membuas dan pegangan telah hilang, Tamadun yang mampu membina binaan yang berdiri tegak dan hebat selama 2000 tahun mengalami kehancuran. Perang saudara meragut nyawa dan kemahiran, fahaman perkauman menghancurkan sesama sendiri sehingga kini tiada lagi yang dapat dibanggakan melainkan bangunan-bangunan kaku yang tidak bernyawa." Dalam tugasan ini,membincangkan faktor-faktor yang menyebabkan runtuhnya tamadun Islam.[1]

BANI UMAIYYAH
Ø  kerajaan Bani Umayyahkhalifah Islam berasaskan perwarisan pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Kerajaan ini terdiri daripada keluarga di dalam kaum Quraish Makkah. Kerajaan Bani Ummaiyyah ini berkuasa dari tahun 661 masihi sehingga tahun 750 masihi. Ironiknya kaum Bani Ummaiyyah sebelum ini pernah menjadi musuh ketat Islam sebelum mereka memeluk Islam.
Ø  Asal nama kerajaan Bani Umayyah adalah mengambil nama sempena nama datuk Muawiyah, pengasas kerajaan ini iaitu Umaiyyah bin Abdul Syams, seorang pemimpin kaum Quraish yang kaya dan berpengaruh.

KRONOLOGI PEMERINTAHAN BANI UMMAIYYAH
·         661M- Muawiyah menjadi khalifah dan mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.
·         670M- Mara ke Afrika Utara. Penaklukan Kabul.
·         677M- Penawanan Samarkand dan Tirmiz. Serangan ke atas Constantinople.
·         680M- Kematian Muawiyah. Yazid I menaiki takhta. Peristiwa pembunuhan Saidina Hussein.
·         685M- Khalifah Abdul Malik menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan.
·         700M- Kempen menentang kaum Barbar di Afrika Utara.
·         711M- Penaklukan SepanyolSind, dan Transoxiana.
·         712M- Tentera Ummaiyyah mara ke Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
·         713M- Penaklukan Multan.
·         716M- Serangan ke atas Constantinople.
·         717M- Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah. Pembaharuan yang hebat dijalankan.
·         725M- Tentera Islam menawan Nimes di Perancis.
·         749M- Kekalahan tentera Ummaiyyah di KufahIraq ditangan tentera Abbasiyyah.
·         750M- Damsyik ditawan oleh tentera Abbasiyyah. Kejatuhan Kerajaan Bani Ummaiyyah.
  
PEMERINTAHAN UMMAIYYAH

Ø Muawiyah telah menjadi Gabenor Syria di bawah pemerintahan khalifah ketiga IslamSaidina Uthman Affan. Pada tahun 35 Hijriah,kota Madinah yang menjadi ibu kota negara Islam telah dilanda krisis politik yang hebat sehingga mencetuskan pemberontakan menentang kerajaan. Akibatnya, Khalifah Uthman bin Affan dibunuh oleh pemberontak. Selepas peristiwa pembunuhan Saidina Uthman, Saidina Ali Abi Talib telah dilantik menjadi khalifah yang baru.

Ø Memandangkan pembunuh Saidina Uthman belum dihukum oleh Saidina, Ali Muawiyah enggan menerimanya sebagai khalifah dan menentang Saidina Ali pada tahun 657.Beliau tidak mengiktiraf Saidina Ali menjadi khalifah kerana Muawiyah telah menuduh Saidina Ali terlibat dalam pakatan membunuh Khalifah Uthman

Ø  Kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Rundingan ini dilihat oleh para pengikut Saidina Ali sebagai tidak adil. Empayar Islam dipecahkan. Selepas Saidina Ali dibunuh pada tahun 661, anak Saidina Ali iaitu Saidina Hassan telah menjadi khalifah namun baginda telah mengambil keputusan untuk memberi jawatan khalifah kepada Muawiyah sebagai khalifah seluruh empayar Islam atas harapan Muawiyah dapat menyatukan umat Islam pada masa itu kerana Saidina Hassan tidak sanggup untuk melihat perpecahan umat Islam terus berlaku dihadapan matanya.Hal ini menyebabkan tertubuhnya Kerajaan Bani Ummaiyyah dan menyaksikan pertukaran pusat pemerintahan daripada Madinah ke Damsyik.
Ø  Kuasa Bani Ummaiyyah berpusat kepada jajahan Byzantine di Syria dan mengekalkan pegawai tempatan yang bukan muslim sebagai pentadbir. Bani Ummaiyyah turut memusatkan usaha mereka kearah menguasai Mediterranean dan menakluk Konstentinopal. Banyak penaklukan dan pembukaan wilayah baru dibuat semasa pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Tentera Muslim berjaya menakluk Afrika Utara dan Iran pada lewat tahun 600-an, mengembangkan empayar Islam daripada Semenanjung Iberia di barat sehingga India di timur. Tentera Ummaiyyah pimpinan Tariq ibn Ziyad menyeberangi Selat Gibraltar dan menubuhkan pemerintahan di Semenanjung Iberia (Sepanyol) sementara baki tentera Islam yang lain menubuhkan pemerintahan di SindIndia.

Ø  Kerajaan Bani Ummaiyyah ditewaskan oleh Kerajaan Bani Abbasiyyah selepas tewas dalam perperangan pada tahun 750 masihi. Hal ini menyebabkan kebanyakan kaum keluarga Bani Ummaiyyah dibunuh oleh tentera Abbasiyyah. Seorang waris Bani Ummaiyyah iaitu Abd-ar-Rahman I mengambil pemerintahan Islam di Andalusia dan menubuhkan Kerajaan Bani Ummaiyyah Andalusia di sana.

BIODATA ABU SUFYAN IBNI HARB
Ø  Nama lengkapnya adalah Sakhar bin Harb bin Umaiah. Beliau ini termasuk orang kaya Quraisy, pada mulanya termasuk musuh Islam nombor satu, di mana beliau sempat memimpin pasukan kaum Musyrikin dalam perang Uhud dan Khandak. Beliau masuk Islam pada waktu penaklukan kota Mekah. Dia adalah ayah dari Muawiyah, pendiri Daulat Umaiah.

Ø  Abu Sufyan Ibni Harb lahir pada 1 september 560 dan meninggal dunia pada 2 september 652.
Ø  Abu Sufyan ibni Harb ialah ketua puak Bani Abd Shams daripada kaum Quraish. Beliau juga merupakan ketua keseluruhan kaum Quraish, menjadikannya salah seorang daripada orang yang berpengaruh di Makkah semasa hayat Nabi Muhammad s.a.w.
Ø  Isteri Abu Sufyan bernama Hind binti Utbah. Beliau juga mempunyai seorang anak perempuan yang mengahwini Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Ramlah binti Abu Sufyan.
Ø  Datuk kepada Abu Sufyan ialah Ummaiyyah, nama Kerajaan Bani Ummaiyyah diambil sempena namanya manakala moyang Abu Sufyan pula bernama Abd Shams. Abang kepada moyangnya pula ialah Hashim, moyang Rasulullah s.a.w. Salah seorang daripada anak Abu Sufyan, Muawiyah mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.
Ø  kedudukan Abu Sufyan sebagai ketua Quraish menjadikannya musuh ketat Nabi Muhammad s.a.w. Abu Sufyan menganggap Nabi Muhammad sebagai satu ancaman dan berusaha beberapa kali untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Anak perempuan Abu Sufyan memeluk Islam dan tidak terlepas daripada didera oleh kaum musyrikin Makkah.
Ø  Selepas beberapa pertempuran di antara Muslimin Madinah dan Musyrikin Makkah terjadi, satu perjanjian iaitu Perjanjian Hudaibiyyah ditandatangani. Perjanjian ini kemudiannya dicabuli oleh sekutu kaum Quraish. Peristiwa ini menyaksikan pembukaan kota Makkah oleh tentera Muslim secara aman. Selepas peristiwa terbabit, Abu Sufyan memeluk agama Islam dengan ikhlas.
Ø  Ia dilahirkan sepuluh tahun sebelum terjadinya penyerbuan tentara gajah ke Mekkah. Ia sering memimpin kafilah perdagangan kaum Quraisy ke negeri Syam dan ke negeri 'ajam (selain Arab) lainya. Ia suka keluar dengan membawa panji para pemimpin yang dikenal dengan 'Al-'Uqab". Panji itu tidak dipegang melainkan oleh pemimpin Quraisy. Kalau terjadi peperangan, panji itu pun hanya dipegang olehnya. 
Ø  Dia seorang saudagar terkenal, banyak mengenal keinginan pasar. Sebagai tokoh masyarakat Quraisy, ia banyak mengetahui gaya hidup masyarakatnya.

Ø  Dia merupakan salah seorang sahabat nabi Muhammad selepas memeluk agama islam.[2]

BIODATA MUAWIYAH BIN ABU SUFYAN

Ø  Nama sebenar Muawiyah Bin Abu Sufyan adalah Muawiyah Bin Abu Sufyan bin Sakhar bin Harb Bin Umayyah Bin Abdi al-Syams Bin Abdi al-Manaf Bin Qusai al-Quraisy al-Umawi. Ayahnya bernama Abu Sufyan bin Harb dan ibunya bernama Hindon binti Uthbah.
Ø  Muawiyah dilahirkan pada tahun 602 masihi di dalam suku kaum Bani Abd Shams yang mana banyak antara mereka menentang Nabi Muhammad s.a.w. di Makkah. Mereka ini terus menentang Rasulullah s.a.w. sehinggalah hijrah nabi ke Madinah. Bapa Muawiyah yakni Abu Sufyan bin Harb ialah salah seorang yang benci akan Rasulullah s.a.w. Namun sebelum Futuh Makkah, beliau dan isterinya telah masuk Islam. Terdapat riwayat lain yang menyebut bahawa Muawiyah, ayah serta ibunya memasuki Islam pada peristiwa Umrah Qadha tetapi menyembunyikan keislamannya sehingga peristiwa Futuh Makkah
Ø  Terdapat juga sumber yang menyatakan bahawa Muawiyah menjadi seorang muslim sejak sebelum peristiwa pembukaan Kota Makkah tetapi menyorokkan status Islamnya daripada pengetahuan bapanya. Khalifah Muawiyah banyak diingati kerana khidmatnya di Syria. Dia juga terlibat dalam serangan ke atas tentera Byzantine di Syria.
Ø  Begitu juga dengan hambanya yang bernama Wahsyi yang membunuh Saidina Hamzah. Di sini menunjukkan betapa baginda Rasulullah seorang yang sangat pemaaf dan tidak berdendam. Baginda suci-sesucinya dari sifat jahat dan berkepentingan baginda nabi yang maksum. Saudara perempuannya Ummu Habibah Ramlah adalah salah seorang isteri Rasulullah.
Ø  Memegang jawatan sebagai gabenor di Syria dan Palestine yang bertempat di damaskus menggantikan Abu Ubaidah bin Jarrah semasa pemerintahan Uthman bin Affan.
Ø  kedudukannya menjadi semakin penting dalam kehidupan sosial keagamaan dan politik apabila beliau diberikan kepercayaan oleh Nabi Muhammad untuk menjadi penulis wahyu.
Ø  Muawiyah dikenali sebagai negarawan dan ahli politik yang ulung. Beliau telah mengubah corak penggantian khalifah semasa  pemerintahan beliau dengan menggantikan cara pemilihan kepada cara turun-temurun.

PERIBADI YAZID BIN MUAWIYAH

·         Keperwiraan
·         Cekal hati
·         Mempunyai tingkah laku yang kasar
·         Pandai bersyair
·         Petah bercakap
·         Suka berpoya-poya dengan perempuan-perempuan cantik
·         Gemar berburu.

CARA PERLANTIKAN YAZID BIN MUAWIYAH

Yazid dilantik oleh bapanya sendiri sebelum wafat atas cadangan Al-Mughirah bin Shu’bah dengan memerintahkan perwakilan-perwakilan negara Islam datang membai’atkannya di Damsyik. Sebelumbapanya wafat, beliau dilantik terlebih dahulu sebagai putera mahkota selama 4 tahun.




SEBAB PERLANTIKAN YAZID BIN MUAWIYAH SEBAGAI KHALIFAH MENDAPAT TENTANGAN DARI BEBERAPA GOLONGAN TERKEMUKA
Ada beberapa sebab, antaranya ialah:

  • Cara perlantikan itu terkeluar dari dasardemokrasi dalam perlantikan Islam dan jawatan khalifah akan diwarisi oleh satu keturunan sahaja.
  • Cara ini menyebabkan terdapatnya orang-orang yang tidak berkelayakan menjadi khalifah.
  • Tingkah laku Yazid yang terkeluar daripada keperibadian Islam seperti gemarkan perempuan cantik dan peminum.
  • Sikap Muawiyah yang telah memungkiri persetujuan yang dibuat dengan Hassan bin Ali sewaktu berlakunya penyerahan kuasa dahulu.[3]


PERISTIWA PENTING KETIKA PEMERINTAH YAZID BIN MUAWIYAH

PEPERANGAN DI KARBALA (10 MUHARAM TAHUN 61 HIJRAH BERSAMAAN 683 MASIHI)

Peristiwaini berlaku pada 10 Murahham, tahun 61 hijrah bersamaan 638 masehi, semasa pemerintahan Yazid bin Muawiyah di suatu tempat yang bernama Karbala. Ketika itu, Sayyidina Hussain bin Ali dan rombongannya seramai 80 orang yang telah dijemput datang ke Iraq oleh orang-orang Syiah untuk perlantikannya sebagai khalifah. Dalam perjalanan, mereka telah dikepung oleh tentera Yazid yang dipimpin oleh Abdullah bin Zaid. Dalam pertempuran itu,  Sayyidina Hussain telah dibunuh oleh tentera Yazid dan kepala Hussain dipancung lalu disembahkan kepada Yazid. Kepala Hussain kemudiannya digantung di sisi Ka’abah. Berikutan dengan peristiwa itu, Yazid berasa sedih dan timbul rasa perasaan belas kasihan yang kemudiannya beliau pun membebaskan keluarga Hussain yang telah ditawan. Kesan dari peristiwa ini, maka terjadilah pemberontakan di Hijaz dan pencerobohan Ka’abah.

PEMBERONTAKAN DI HIJAZ (dikenal juga sebagai Peperangan Harrah)

Gabenor Muawyah di Madinah telah diusir keluar dan orang-orang Muawiyah telah ditangkap oleh para pemberontak. Untuk menghapuskan pemberontakan ini, Yazid telah menghantar satu angkatan tentera seramai 12,000 orang yang diketuai oleh Muslim bin Hu’bah dan kota Madinah berjaya ditawan pada tahun 63 hijrah. Pemberontakan ini dikenal sebagai peperangan Harrah dan kota Madinah dihalalkan oleh Muslim bin Hu’bah kepada askar-askarnya membuat sesuka hati selama tiga hari tiga malam. Perbuatan ini telah dikecam hebat oleh sebahagian besar umat Islam kerana mencabuli kesucian kota Madinah.

PEMBERONTAKAN DI MAKKAH

Pemberontakan di Makkah ini muncul setelah berlakunya pemberontakan di Madinah. Dipimpin oleh Abdullah bin Zubair yang mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah, menentang pemerintahan Yazid. Yazid menghantar Muslim bin Aqabah bagi menentangnya. Dalam perjalanan, Muslim telah meninggal dunia dan diganti oleh penglima Hussein bin Numair. Berlakulah pertempuran hebat antara kedua pihak sehingga menyebabkan sebahagian dinding Ka’abah roboh akibat lontoran menjanik yang digunakan oleh Panglima Hussein.

KESAN-KESAN PEMERINTAHAN YAZID BIN MUAWIYAH

o   Sayyidina Hussain dibunuh ketika peristiwa Karbala

Sayyidina Hussain bertolak ke Kufah bersama 80 orang pengikutnya, walaupun ramai yang telah dinasihati supaya jangan pergi. Ketika berada di pertengahan perjalanan, tersebar berita pembunuhan muslim. Berita tersebut menyebabkan timbul perasaan ingin menuntut bela. Ketika perjalanan mereka bertembung dengan 1000 pasukan berkuda. Tetapi enggan berundur, malahan menghala ke utara. Ahkirnya mereka bertemu dengan tentera yang diketuai oleh Omar Bin Saad bin Waqqas. Berlaku pertempuran padah 10 muharam 61 H. Mengakibatkan Sayyidina Hussain terbunuh di Karbala.

o   Pemberontakan muncul di Hijaz(Mekkah), Basrah(Iraq), dan Madinah.
MADINAH

Yazid bin Muawiyah menghantar wakil menemui Othman bin Mohammad bin Abu Suffian wakil pemerintah di Madinah. Wakilnya dilayan baik, tetapi mereka memburukkan Khalifah dan melantik ketua sendiri, iaitu Abdullah bin Hanzalah. Khalifah dapat tahu, lalu mengutus An nu’man bin Bashir menasihati mereka. An nu’man tidak berjaya, pemberontak bermaharajalela. Khalifah menghantar 12 ribu orang tentera ke tempat bergelar Harrah dan diketuai oleh Muslim bin Aqabah. Akhirnya penduduk Madinah menyerah kalah dan tentera Yazid mengganas.

                                  MEKKAH

Selepas Pemberontakan Madinah muncul, pemberontakan Mekkah diketuai oleh Abdullah bin Zubair. Muslim bin Aqabah dihantar untuk menghapuskannya, tetapi di pertengahan jalan Muslim bin Aqabah meninggal dunia. Dia kemudiannya digantikan oleh Hussain bin Numair.
Berlakulah pertempuran sengit sehingga Ka’abah rosak oleh lontaran Manjaniq. Sedang pertempuran berlaku, Yazid bin Muawiyah meninggal dunia, Hussain menghentikan perang.
Kekallah Abdullah bin Zubair menjadi pemerintah Mekkah.

o   Pencabulan terhadap tanah haram ( Madinah dan Makkah).

KHALIFAH-KHALIFAH BANI UMAIYYAH SELEPAS KETURUNAN ABU SUFIAN:-
·         MARWAN AL-HAKAM (683-685)
·         ABDUL MALIK BIN MARWAN (685-705)
·         AL-WALID BIN ABDUL MALIK (705-715)
·         SULAIMAN BIN ABDUL MALIK (715-717)
·         UMAR BIN ABDUL AZIZ (717-720)
·         YAZID BIN ABDUL MALIK (720-724)
·         HISHAM BIN ABDUL MALIK (724-743)
·         AL-WALID BIN YAZID (743-744)
·         YAZID BIN AL-WALID (744)
·         IBRAHIM BIN AL-WALID (744)
·         MARWAN BIN MUHAMMAD (744-750)

Kejatuhan kerajaan Umaiyyah adalah disebabkan oleh dua faktor besar:

1. FAKTOR DALAMAN
i)  Kebejatan Moral
Pertama sekali ialah faktor kebejatan moral (moral depravity) di kalangan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah yang cuma sibuk melayani tuntutan nafsu syahwatnya. Sungguhpun Muawiyah agak terkecuali dari segi ini, tetapi dialah yang bertanggungjawab mengasaskan suatu corak pentadbiran sekular (keduniaan) dan materialistik. Ada pun Yazid lantaran kekejamannya meletusnya tragedi Karbala’ yang membawa kematian Hussein. Tentang diri Marwan Al-Hakam, bukankah dialah orangnya yang bertanggungjawab menimbulkan huru-hara di zaman Usman dulu? Berkat polisi nepotismenya, kebanyakan pegawai-pegawai lantikan Umar dulu dipecat oleh Usman, lalu digantikan dengan orang-orang Umayyah saja. Dan dia juga pernah diusir dari Madinah oleh Rasulullah kerana dikatakan pernah menyinggung perasaan baginda.
Mengenai Abdul Malik bin Marwan, memang benar dia termasuk salah serang tokoh Fiqh yang ulung di Madinah. Tetapi sejak menjadi khalifah, keulungan tersebut hilang sinar ditelan oleh gemerincingan suara pedang dan tombak. Dikatakan bahawa ketika ia dilantik sebagai khalifah, mashaf Al-Quran yang sedang terbuka di depannya itu tertutupnya seraya berkata: “Inilah akhir riwayatku denganmu.” Tentang Sulaiman pula, hubungannya dengan soal-soal seks hampir sinonim dengan hubungan Al-Walid dengan bangunan-bangunan yang indah atau hubungan Umar Abdul Aziz dengan kegiatan-kegiatan keagamaan!
Keruntuhan moral lebih ketara pada diri Yazid bin Abdul Malik, hingga pernah dikatakan dia jatuh cinta kepada dua orang hamba sahayanya sendiri, Sallamah dan Hubabah. Sifat seperti ini diwarisi pula oleh anaknya Al-Walid yang mempunyai semacam sifat kegila-gilaan. Tidak cukup dengan kegilaannya kepada wanita-wanita rupawan dan arak, Al-Walid juga begitu zalim dan kejam, khasnya terhadap keluarga Hisham bin Abdul Malik. Dan akhirnya pimpinan Bani Umaiyyah dipegang oleh Marwan bin Muhammad, seorang yang sering ditonjolkan sebagai cekap dan punya kaliber besar. Tetapi bukankah dia jugalah orangnya yang menyeksa Imam Abu Hanifah sampai begitu teruk sekali? Kelemahan moral di kalangan khalifah-khalifah diperburukkan lagi oleh pembantu-pembantunya yang kejam pula. Di antara mereka yang terkenal dengan keganasannya tersebut ialah Ubaidullah bin Ziyad dan Al-Hajjaj. Tentang Ubaidullah, dialah pemimpin tentera Yazid yang membunuh dan memenggal leher Hussein bin Ali di Karbala’. Adapun tentang Al-Hajjaj, keganasannya menjadi satu lagenda dalam sejarah. Antara mangsanya yang dipenggal lehernya ialah Said bin Zubair, seorang ulama yang wara’ lagi solih di Iraq. Dan AI-Hajjaj jugalah yang pernah mengepung Kaabah dan menghancurkannya dengan al-manjanik.

ii) Kurang Pengalaman
Sehubungan dengan faktor kelemahan peribadi tersebut ialah kurangnya kelayakan (incompetency) di kalangan khalifah-khalifah Umaiyyah. Kelemahan seperti ini kadangkalanya berjalan seiring dengan keruntuhan moral tadi, tetapi kadang-kadangnya berdiri sendiri. Yazid bin Muawiyah misalnya adalah contoh mereka yang bejat moralnya dan juga tidak layak sama sekali. Hakikat ini diakui sendiri oleh Ziyad bin Abihi (bapa Ubaidullah), salah seorang Gabenor Umaiyyah: “Yazid adalah orang yang tak serius, menganggap remeh segala urusan dan sangat gemar berburu” (Yakni sejenis kegemaran yang ketika itu dipandang sia-sia dan tidak bermoral).
Tentang Muawiyah bin Yazid, pemilihannya jelas benar dilakukan secara sewenang-wenang, kerana dia bukan saja tidak berpengalaman malah seorang pemuda yang lemah. Sebab itu sebaik terlantik, dia meletak jawatannya kerana merasa dirinya memang tidak berupaya. Mengenai Marwan sendiri, apakah seorang yang pernah mengkucar-kacirkan pemerintahan Usman dulu dapat diharap sebagai pemimpin yang layak? Demikian juga dengan Yazid bin Abdul Malik yang di tangannyalah bermula zaman kehancuran bagi Bani Umaiyyah. Ini semakin diperburukkan lagi oleh kekejaman puteranya Walid dan juga Ibrahim bin Walid, seorang khalifah yang tidak direstui oleh sebahagian orang-orang Umaiyyah sendiri.

iii) Mementingkan Bangsa, Puak Dan Anak Sendiri
Mengenai aspek pertama, sebenarnyalah dasar mementingkan bangsa Arab sahaja (Al-Asabiyyah Al-Arabiyyah) itu bererti menghidupkan kembali tradisi Jahiliah yang telah pun dihancurkan oleh Rasulullah. Politik ‘anak tiri anak kandung’ tersebut telah meletakkan golongan Arab pada darjat tertinggi, sedangkan golongan Mawaly (bukan Arab) dipandang rendah; seakan-akan telah ditentukan bahawa bangsa Arab merupakan ‘sayyid’ (tuan) ke atas golongan Mawaly yang digelar ‘Al-Hamra’ (Si Merah) itu. Akibat dasar diskriminasi seperti inilah yang melahirkan satu gerakan rahsia di kalangan kaum Mawaly yang terkenal dengan nama ‘asy-Syu’biyah’ untuk menentukan dasar tersebut.
Tidak cukup dengan sikap fanatik kearaban tersebut, golongan Umaiyyah nampaknya lebih memberi keutamaan (prioriti) kepada keturunan mereka saja (Bani Umayyah), tidak kepada suku lain meskipun sama-sama berbangsa Arab. Dari namanya sendiri iaitu kerajaan Bani Umaiyyah, sudah dapat difahami bagaimana implikasinya terhadap dasar-dasar pentadbiran, seperti keutamaan kepada golongan sendiri dalam pemilihan pegawai-pegawai atau Gabenor. Semangat kesukuan yang melampau ini dapat disaksikan dengan jelas pada tindakan-tindakan mereka terhadap kaum Syiah dan Khawarij yang terus menerus ditekan dan ditindas pada zaman Umayyah.
Selain dari itu, Bani Umayyah seolah-olah cuba menggalakkan lagi konflik perkauman ini dengan cara menyokong kaum-kaum tertentu dalam sesuatu pertikaian. Misalnya dalam pertikaian antara qabilah Dais (Arab Utara) dengan qabilah Kalb (Arab Selatan), Bani Umayyah menyokong salah satunya. Dan kemudiannya pada ketika yang lain, disokongnya pula qabilah yang lain. Sikap berpihak seperti ini nyata sekali menambahkan lagi penyakit berpuak-puak yang mana pernah dihapuskan oleh Rasulullah.
Puncak dari sikap atau semangat kesukuan itu ialah mementingkan anak sendiri dalam pemilihan Putera Mahkota, dengan mengenepikan saudara-saudara sendiri dan keturunan Umaiyyah. Sistem politik anti demokrasi ini mula-mula diamalkan oleh Marwan Al-Hakam dengan mengenepikan Khalid bin Yazid dan Amru bin Said seperti yang ditetapkan dalam Muktamar AI-Jabiyah, sebaliknya dia melantik putera-puteranya Abdul Malik dan Abdul Aziz sebagai Putera Mahkota. Dan apabila Abdul Malik pula memerintah, dia cuba menyingkir Abdul Aziz sebagai penggantinya, sebaliknya melantik anak-anaknya Al-Walid dan Sulaiman. Kemudiannya setelah AI-Walid berkuasa, dia juga ingin menyingkirkan Sulaiman dengan melantik anaknya Abdul Aziz. Mujurnya Al-Walid mati dulu, hingga cita-citanya itu terbengkalai begitu saja.
Apakah akibat daripada sifat egoisme yang beragam-ragam itu? Bagi golongan Mawaly, mereka segera menyokong gerakan-gerakan pemberontak. Dan bagi golongan bukan Umaiyyah, khasnya Bani Hashim, mereka menyusun strategi secara sulit buat menumbangkan kerajaan Umaiyyah. Adapun bagi bakal-bakal Putera Mahkota yang tersingkir itu, timbullah masalah rebutan kuasa dan perang saudara yang berlarut-larutan. Tiadanya unsur perpaduan di kalangan Bani Umaiyyah sendiri telah memudahkan pihak oposisi mengambil peluangnya.[4]

2. FAKTOR LUARAN
Wujud  aspek kedua iaitu faktor luaran yang bertanggungjawab membawa kehancuran Bani Umayyah. Maksudnya, Bani Umayyah terpaksa menghadapi tentangan-tentangan musuhnya dari semasa ke semasa hinggalah ke akhir zamannya. Ada dua corak tentangan tersebut. Pertama penentangan yang timbul oleh sebab-sebab semasa, kerana usianya pun tidak panjang, dan tidak pula semua khalifah Bani Umayyah terpaksa menghadapinya dan kedua-dua tentangan yang dicetuskan oleh musuh abadi Bani Umayyah, iaitu golongan-golongan Syiah dan Khawarij di mana terus berlanjutan. Bagi jenis ini boleh dikatakan setiap orang khalifah terpaksa menghadapinya. Ada baiknya kita tinjau lebih mendalam tentang jenis yang kedua ini.
i.              Syiah
Memang benar orang-orang Syiah dikatakan dapat membendung kemarahan mereka kepada Muawiyah dengan kerelaan Hassan bin Ali menyerahkan pimpinan umat kepada Muawiyah pada 661 M. Tetapi apabila timbul idea perlantikan Yazid sebagai bakal pengganti, timbullah protes orang-orang Syiah, khasnya Hussein bin Ali. Ini kerana Muawiyah telah mengenepikan perjanjiannya dengan Hassan dulu untuk menyerahkan soal khalifah ini kepada rakyat untuk memilihnya. Apabila Muawiyah mendatangi mereka di Madinah, mereka segera berpindah ke Makkah, hingga memaksa Muawiyah mengekori ke sana pula. Memandangkan betapa sukarnya mententeramkan mereka, Muawiyah lalu memerintahkan agar ketua pengawalnya masing-masing menyediakan dua orang penjaga dengan pedang terhunus. Katanya: “Jika nanti di antara mereka ada yang memotong perbicaraanku di waktu berpidato, biarpun untuk menyatakan sokongan atau menentang, maka kedua pengawal itu harus memotong leher orang itu dengan pedangnya!”
Dengan kematian Muawiyah, penentangan Hussein telah mencapai kemuncaknya, hingga dia sanggup menerima undangan penduduk-penduduk Kufah yang kononnya ingin membantunya, meskipun berkali-kali dilarang agar jangan menerimanya. Mulanya dilarang oleh Abdullah bin Abbas dan Farazdaq, dan kemudian bila Hussein hampir sampai, seorang pemimpin Arab, Abdullah bin Mutik Al-Adawi menasihatkan Hussein agar jangan menuntut apa yang ada dalam tangan Bani Umayyah, takut nanti dia akan dibunuh, dengan itu mereka tidak akan takut kepada sesiapa pun untuk selama-lamanya.  Dari semuanya itu ialah apabila Hussein tiba di Kufah, beliau ditemui oleh dua orang dari Bani Mad yang meminta agar beliau pulang dan meninggalkan Kufah, sebab ditakuti orang-orang Kufah akan memusuhinya pula. Sesungguhnya tragedi Karbala’ pada 681 M masih dapat dihindarinya jika amaran yang bertalu-talu itu didengarinya.
Di zaman Marwan Al-Hakam, orang-orang Syiah bangkit semula di bawah pimpinan Sulaiman bin Surad. Sebenarnya mereka digelar golongan ‘at-Tawwabun’ (yang bertaubat), kerana dikatakan menyesal di atas kesalahan mereka mengundang Hussein ke negeri mereka, tetapi tidak pula membelanya. Maka untuk menebus dosanya mereka bertaubat dan bangkit untuk membela Hussein. Untuk menghapuskannya Marwan mengutus Ubaidullah bin Ziyad hingga meletuslah pertempuran di Ainul Wardah pada 685 M yang membawa kematian orang-orang Syiah.
Marwan kemudiannya digantikan oleh puteranya Abdul Malik, dan di zamannya tercetus siri-siri pemberontakan yang antaranya termasuklah penyokong-penyokong Syiah. Ia dipimpin oleh Al-Mukhtar bin Abi Ubaid Al-Saqafy yang mendakwa dirinya wakil Muhammad bin Hanafiah dan menggunakan nama ‘Ahlil-bait’ sebagai landasan perjuangannya. Sebenarnya AI-Mukhtar pernah cuba memimpin pemberontakan golongan at-Tawwabun, tetapi nampaknya orang-orang Syiah lebih mempercayai Sulaiman bin Surad. Bagaimanapun dia berjaya juga mendapat sokongan orang-orang Syiah setelah mendapat bantuan Ibrahim Al-Ashtar atas nama Muhammad bin Hanafiah dan Ahlil-bait. Dengan pertolongan Al-Ashtarlah Ubaidullah bin Ziyad dapat dipukul di Sungai Khazar (anak Sungai Tigris), termasuk juga Hussain bin Numair yang pernah menghancurkan Makkah dengan manjanik tersebut.
Bagaimanapun AI-Mukhtar tidak lama menikmati kemenangannya disebabkan kecurangannya sendiri, hingga dengan ini menyebabkan Al-Ashtar memutuskan hubungan dengannya. Ini melemahkan akar perjuangannya sendiri, hingga dalam menghadapi Mus’ab bin Zubair di Hammam pada 687 M, Al-Mukhtar mengalami kekalahan teruk yang membawa kematiannya sendiri. Dalam pertempuran itu, Mus’ab disertai juga oleh Muhallab bin Abi Safrah. Dengan itu seluruh Iraq berada di bawah kekuasaan Abdullah bin Zubair.
Dengan terserahnya pimpinan Bani Umayyah ke tangan Umar Abdul Aziz, gerakan Syiah mengambil bentuk baru, iaitu dengan bekerjasama dengan golongan Bani Abbasiah. Kerana kelicikan siasat Bani Abbasiah, tidaklah disedari oleh orang-orang Syiah (Alawiyah) yang golongan Abbasiah mempunyai motif tersendiri dalam perjuangan mereka. Sebenarnya berkat kerjasama keturunan Bani Hashim inilah yang kemudiannya telah menumbangkan Bani Umayyah yang telah memerintah hampir satu abad.

ii)                    Khawarij        
Seperti golongan Syiah, kaum Khawarij juga terus menerus melancarkan tentangan mereka terhadap Bani Umayyah. Dan orang yang mula-mula melakukan pemberontakan terhadap Muawiyah dari kaum Khawarij tersebut ialah Farwah bin Naufal Al-Ashjai. Ketika Muawiyah datang ke Kufah selepas pengunduran Hassan bin Ali dari pimpinan ‘khalifah’ tersebut, Farwah lalu menyeru kaum Khawarij di Kufah: “Kini telah datang sesuatu yang tidak diragukan lagi, maka berangkatlah kamu untuk memerangi Muawiyah, dan berjuanglah terhadapnya!” Bagaimanapun kaum Khawarij gagal menghadapi Muawiyah, kerana orang-orang Kufah sendiri memerangi mereka. Setelah itu berkali-kali pula mereka bangkit, tetapi segera pula mereka dikalahkan oleh Gabenor-gabenor Umayyah seperti Mughirah bin Abu Shu’bah, Ubaidullah bin Ziyad serta ayahnya Ziyad bin Abihi. Dan di antara tokoh-tokoh Khawarij yang tertewas ialah Mustaurid bin Ulfah, Haiyan bin Zibyan, Muaz bin Juwain, Urwah bin Adiyah dan saudaranya Abu Bilal Mirdas bin Adiyah.
Pada masa Abdul Malik bin Marwan, meletus pula kekacauan oleh kaum Khawarij di Iraq, iaitu wilayah pentadbiran Al-Hajjaj. Sebenarnya orang-orang Khawarij ini pernah cuba membantu Abdullah bin Zubair di Makkah, tetapi mereka sendiri kemudiannya terpecah pula kepada dua golongan; golongan Azariqah menuju Basrah sedangkan golongan Najdat menuju Yamamah. Golongan pertama yang nampaknya lebih kuat dan keras sifatnya dipimpin oleh Nafi’ bin Azraq dan kemudiannya Qatari ibnul-Fujaah. Untuk menghadapinya Al-Hajjaj menetapkan Muhallab bin Abi Safrah sebagai pemimpinnya. Sungguhpun orang-orang Khawarij dapat memperlihatkan kekuatan mereka pada peringkat awalnya tetapi berkat kepintaran Muhallab mereka dapat ditumpaskan. Ini kerana di kalangan pengikut-pengikut Qatari terbahagi pula kepada dua kem: sebahagiannya meyakini Qatari sebagai pemimpin mereka sedangkan sebahagian besarnya mengangkat Abdu Rabbih Al-Kabir sebagai pemimpinnya. Ini memberi kesempatan buat Muhallab untuk memecah-belahkan mereka, sehingga dengan itu mereka enggan lagi bekerjasama. Dan faktor perpecahan inilah yang memudahkan Muhallab menewaskan Qatari, Abdu Rabbih dan Ubaidah bin Hilal.
Selain golongan tersebut, masih ada golongan Khawarij lain yang bersatu di bawah pimpinan Salih bin Musawih yang kemudiannya diganti oleh Shabib bin Yazid. Sebenarnya Shabib ini pernah mengancam pasukan-pasukan Umayyah, termasuk istana AI-Hajjaj sendiri. Agak sukar juga AI-Hajjaj untuk menangkis serangan mereka, tetapi akhirnya Shabib sendiri terpaksa melarikan diri ke Ahwaz. Dengan perlantikan Sufyan bin Abrad sebagai pemimpin pasukan untuk memburu Shabib itu, barulah AI-Hajjaj dapat menewaskannya pada 78 H.
Dengan pukulan-pukulan hebat yang diterima oleh kaum Khawarij dari Abdul Malik, Al-Hajjaj dan Al-Muhallab itu, gerakan-gerakan mereka selepasnya kelihatan kurang bertenaga lagi, hingga di mana-masa AI-Walid dan Sulaiman tidak terdapat sebarang tentangan yang bermakna dari mereka. Ada pun di zaman Umar Abdul Aziz, memang kaum Khawarij cuba bangkit di Iraq di bawah pimpinan Shauzab. Tetapi berkat polisi tolak ansur Khalifah Umar, akhirnya mereka sendiri mengakui juga kepimpinan Umar. Bagaimanapun Shauzab bangun semula pada zaman Yazid, tetapi akhirnya tertewas juga di tangan Maslamah bin Abdul Malik dan Said bin Umar Al-Harashi walaupun kecekapan Shauzab tiada tandingannya.
Di zaman Hisham bin Abdul Malik, kaum Khawarij bangun memberontak di Kufah di bawah pimpinan Bahlul bin Umair Al-Shaibani. Bagaimanapun Bahlul tumpas di tangan Khalid bin Abdullah Al-Qisri, sehingga terpaksa melarikan diri ke Mosul, tetapi dikejar oleh pasukan Khalid dan tertewas di sana. Gerakan yang terakhir dari kaum Khawarij timbul pada zaman Marwan bin Muhammad di bawah pimpinan Abu Hamzah AI-Khariji di Makkah. Sungguhpun ia dapat mencapai kemenangan awal, tetapi akhirnya pasukan Marwan dapat menghancurkannya.
Demikianlah siri-siri pemberontakan yang dilancarkan oleh kaum Syiah dan Khawarij terhadap kerajaan Umayyah. Bani Umayyah bukan sahaja terpaksa menghadapi musuh abadi mereka tersebut, bahkan juga terpaksa menghadapi tentangan yang timbul kerana sebab-sebab semasa, baik dari bukan keturunan Umayyah mahupun dari kalangan Umayyah sendiri, khasnya dari saudara sendiri. Adanya tentangan yang terus menerus ini, serta ditambah pula oleh usaha-usaha perluasan kuasa yang rancak dilakukan itu, kesannya telah melemahkan kewangan negara. Hal ini melemahkan keutuhan Bani Umayyah sendiri, sehingga dengan itu kehancurannya seperti ini tidak dapat dielakkan lagi.[5]

KESIMPULAN
Kesimpulannya, kejatuhan sesebuah tamadun adalah berpunca daripada kelemahan pemimpin sesebuah kerajaan itu sendiri. Sikap pemimpin yang tidak mengambil berat terhadap tugasnya sebagai seorang pemimpin yang akan memerintah sesebuah kerajaan. Selain itu, pecah belah antara rakyat dalam sesebuah kerajaan juga merupakan faktor jatuhnya sesebuah kerajaan, apabila rakyat enggan berkerjasama antara satu sama lain. Faktor ekonomi yang tidak seimbang juga member kesan terhadap pembangunan sesebuah kerajaan. Dengan itu, untuk membangunkan sesebuah kerajaan yang kukuh, pemimpin sesebuah kerajaan tersebut haruslah bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Rakyat juga harus berkerjasama dalam membangunkan sesuatu kerajaan.

RUJUKAN
7.    Mirza Bashir-ud din Mahmud Ahmad, Life Of Muhammad, Islam International Publications 2003
8.    Mahayudin Hj. Yahya, Tamadun Islam, Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1998.




[1] Mahayudin Hj. Yahya, Tamadun Islam, Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1998.

[2] Mirza Bashir-ud din Mahmud Ahmad, Life Of Muhammad, Islam International Publications 2003

No comments:

Post a Comment